Saturday 29 October 2011

Sekitar Piala Malaysia Edisi ke - 85


NEGERI SEMBILAN kembali ditabalkan selaku juara Piala Malaysia. Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi membolehkan skuad Hoben Jang Hoben kembali menjulang piala berprestij itu.
Ia merupakan kejayaan ketiga Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia selepas edisi 1948 dan 2009.
Bagi Terengganu pula, skuad Peteh itu gagal mengulangi pencapaian sedekad yang lalu dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia.
Kekalahan itu juga sekali gus menyebabkan Terengganu gagal dalam misi merangkul gelaran berganda musim ini selepas mereka muncul juara Piala FA pada Jun lalu.
Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Terengganu terlebih dahulu menceriakan kira-kira 35,000 penyokong skuad Penyu yang hadir menyaksikan aksi final di stadium.
Pemain sayap, Mohd. Ashaari Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-59.
Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan bingkas bangkit menguasai perlawanan bagi memburu gol penyamaan.
Hasilnya, pemain sayap lincah, S. Kunanlan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas rembatannya dari sebelah kanan pintu gol Terengganu gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alllawee.
Hairuddin mengesahkan kemenangan Negeri Sembilan apabila meledak gol berselang lima minit kemudian selepas menyudahkan hantaran lintang kapten, Shukor Adan.
Ia dianggap detik cukup istimewa bagi Hairuddin, 32, kerana dia turut menjaringkan gol dalam dua edisi final sebelum ini.
Pada edisi 2009, Hairuddin yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan dari kelab T-Team, berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan menarik, sekali gus mengecewakan Kelantan 3-1 di pentas final.
Ketika menyarung jersi Kelantan musim lalu pula, Hairuddin menjadi watak pemusnah bagi Negeri Sembilan apabila tandukannya berjaya menyamakan kedudukan buat The Red Warriors sebelum jaguh Pantai Timur itu menang 2-1.

Monday 24 October 2011

Kemalangan MauT Pertama Di LiTaR Sepang


MAYAT pelumba MotoGP, Marco Simoncelli yang meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan ngeri di Grand Prix Motosikal Malaysia kelmarin, diterbangkan ke negara kelahirannya, Itali dengan menaiki pesawat MH14 Penerbangan Malaysia (MAS) pada jam 11.45 malam tadi.
Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali yang mengesahkan perkara itu berkata, turut bersama menaiki pesawat itu adalah beberapa ahli keluarga terdekat, termasuk bapanya, Paolo.

Menurutnya, mayat penunggang berusia 24 tahun itu sudah diuruskan di sebuah pusat pengebumian di sini terlebih dulu sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.


Sebelum itu, difahamkan mayat Simoncelli dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas mendapat rawatan kecemasan di Pusat Perubatan SIC.

Razlan yang turut bersama ahli keluarga Simoncelli sebelum berlepas ke Itali berkata, meskipun anggota keluarga pelumba yang mewakili pasukan San Carlo Honda Gresini itu tidak fasih berbahasa Inggeris, beliau dapat berasakan kesedihan mereka.


“Saya lihat beberapa ahli keluarga yang mengiringi mayat Simoncelli masih sedih. Bagaimanapun mereka dapat menerima kenyataan dan faham karier perlumbaan yang dilalui Simoncelli sememangnya sentiasa berisiko tinggi,” katanya ketika dihubungi.



Pada perlumbaan kelmarin, Simoncelli yang hilang kawalan di selekoh ke-11, bergesel dengan jentera Colin Edwards (Monster Yamaha Tech 3) yang kemudiannya tidak sempat mengelak dan terus merempuhnya dari jarak dekat.

Sementara juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi yang berada di belakang kedua-dua pelumba itu, berjaya mengelak insiden itu sebelum terbabas.Topi keledar Simoncelli tercabut dalam kejadian itu dan perlumbaan di Sepang itu diberhentikan apabila bendera merah dikibarkan dan kemudiannya dibatalkan.


Simoncelli dikejarkan ke pusat perubatan SIC selepas kemalangan itu, namun kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 4.56 petang akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala, leher dan dada.

Saturday 22 October 2011

SaNg Penyu BerTeMu SaNg RuSa di FiNaL PiaLa MaLaySiA 2011


TERENGGANU dan Negeri Sembilan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 selepas meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua malam tadi.
Negeri Sembilan yang melayan kunjungan T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menang 2-1 sekali gus mara dengan agregat 6-3.
Pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini, Negeri Sembilan menang 4-2.
Terengganu pula mara dengan agregat 4-1 selepas membenam Selangor 2-1 pada aksi kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Isnin lalu, gergasi Pantai Timur itu melakar kemenangan 2-0 sekali gus memusnahkan ‘Misi 33’ skuad bimbingan P. Maniam itu.
Final Piala Malaysia 2011 akan berlangsung pada 29 Oktober ini di Stadium Shah Alam.