Monday 24 October 2011

Kemalangan MauT Pertama Di LiTaR Sepang


MAYAT pelumba MotoGP, Marco Simoncelli yang meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan ngeri di Grand Prix Motosikal Malaysia kelmarin, diterbangkan ke negara kelahirannya, Itali dengan menaiki pesawat MH14 Penerbangan Malaysia (MAS) pada jam 11.45 malam tadi.
Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali yang mengesahkan perkara itu berkata, turut bersama menaiki pesawat itu adalah beberapa ahli keluarga terdekat, termasuk bapanya, Paolo.

Menurutnya, mayat penunggang berusia 24 tahun itu sudah diuruskan di sebuah pusat pengebumian di sini terlebih dulu sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.


Sebelum itu, difahamkan mayat Simoncelli dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas mendapat rawatan kecemasan di Pusat Perubatan SIC.

Razlan yang turut bersama ahli keluarga Simoncelli sebelum berlepas ke Itali berkata, meskipun anggota keluarga pelumba yang mewakili pasukan San Carlo Honda Gresini itu tidak fasih berbahasa Inggeris, beliau dapat berasakan kesedihan mereka.


“Saya lihat beberapa ahli keluarga yang mengiringi mayat Simoncelli masih sedih. Bagaimanapun mereka dapat menerima kenyataan dan faham karier perlumbaan yang dilalui Simoncelli sememangnya sentiasa berisiko tinggi,” katanya ketika dihubungi.



Pada perlumbaan kelmarin, Simoncelli yang hilang kawalan di selekoh ke-11, bergesel dengan jentera Colin Edwards (Monster Yamaha Tech 3) yang kemudiannya tidak sempat mengelak dan terus merempuhnya dari jarak dekat.

Sementara juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi yang berada di belakang kedua-dua pelumba itu, berjaya mengelak insiden itu sebelum terbabas.Topi keledar Simoncelli tercabut dalam kejadian itu dan perlumbaan di Sepang itu diberhentikan apabila bendera merah dikibarkan dan kemudiannya dibatalkan.


Simoncelli dikejarkan ke pusat perubatan SIC selepas kemalangan itu, namun kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 4.56 petang akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala, leher dan dada.

No comments:

Post a Comment