Saturday, 23 July 2011

Azam Datuk Lee Chong Wei..

JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berazam untuk mencapai gelaran pertama pada Kejohanan Badminton Dunia 2011 yang akan berlangsung di London pada 8 hingga 14 Ogos ini.

Pemain berusia 29 tahun itu menjelaskan peluang untuk beliau memenangi kejuaraan sulung pada kejohanan berprestij dunia itu kini lebih cerah berbanding tahun lalu.

"Saya memiliki keyakinan disebabkan sudah melakukan persiapan yang lebih baik dan berpeluang mengadakan latihan di London untuk selama dua minggu sebelum Kejohanan Dunia bermula.

"Dengan memenangi hampir semua perlawanan pada Kejohanan Siri Super sebelum ini, saya lihat peluang untuk menggenggam kejuaraan pertama nampaknya lebih cerah.

"Saya anggap latihan awal di London sedikit sebanyak boleh menyesuaikan diri saya dengan keadaan cuaca di sana sebelum kejohanan sebenar berlangsung.

"Cuma saya tidak mahu fikirkan soal tekanan. Saya hanya ingin fokus dan melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian sebagai juru cakap Kolej Universiti Damansara Utama (KDU), Petaling Jaya semalam.

Penguasaan Usain Bolt Berterusan..

Pemegang rekod dunia, Usain Bolt tidak bimbang mengenai peluangnya pada Kejohanan Olahraga Dunia 2011 meskipun hampir mengalami kekalahan ketiga dalam karier profesionalnya kelmarin. Bolt gagal memulakan lariannya dengan baik dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Berlian Monaco, namun bangkit melakukan larian deras di saat-saat akhir untuk memintas rakan senegaranya, Nesta Carter dan melintasi garisan penamat dengan catatan 9.88 saat.
Sebelum ini, dia mengalami dua kekalahan kepada pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay tahun lepas dan juga kepada rakan senegaranya dari Jamaica, Asafa Powel pada 2008 di Stockholm. Namun Bolt berkata, dia tidak bimbang dengan prestasinya selepas pulih daripada kecederaan menjelang Kejohanan Olahraga Dunia di Daegu, Korea Selatan pada 27 Ogos hingga 4 September depan. "Saya tidak bimbang mengenai acara 100m atau 200m, ini acara kegemaran saya," kata pelari berusia 24 tahun itu.
"Saya semakin pulih. Saya banyak meningkat ketika larian 60 meter terakhir. Hanya perlu memperbaiki pecutan pada awal 40 meter saja." Bolt ketinggalan di belakang Carter dan pelari Amerika, Michael Rodgers pada awal perlumbaan, namun juara Olimpik itu memberi respons luar biasa dengan memecut pada saat-saat akhir untuk menewaskan dua pencabarnya itu. "Memang bagus untuk terus mengekalkan kejayaan. Saya tidak pernah mencatat masa sehingga 9.58s musim ini, tidak sama seperti keadaan dua tahun lalu," kata Bolt. "Kali ini saya akan cuba melakukan 9.7 atau 9.6 saat."credit to Kosmo.

Monday, 18 July 2011

Khairul Fahmi Tekad Bangun . . .

KEYAKINAN penjaga gol utama Harimau Malaya,
Khairul Fahmi Che Mat (gambar) tetap menebal walaupun dibolosi tujuh gol dalam dua aksi perlawanan persahabatan menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Liverpool baru-baru ini.
Malah penjaga gol Kelantan itu melaungkan amaran untuk bangkit mempamerkan aksi terbaik bagi mengekalkan posisinya sebagai benteng terakhir Harimau Malaya apabila menentang Singapura pada aksi pertama, pusingan kedua Piala Dunia 2014 zon Asia di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

“Saya menerima dengan hati terbuka sebarang kritikan yang dilemparkan berikutan kegagalan mengekang dengan baik ketika diturunkan menentang dua pasukan bertaraf dunia itu. “Saya anggap ia pengalaman bagi mematangkan lagi corak permainan terutamanya apabila menghadapi pemain bertaraf dunia,” katanya Menurutnya lagi kecederaan bahu yang dialaminya sebelum ini sudah pulih sepenuhnya dan dia tidak boleh berharap untuk terus menjadi pilihan utama ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal kerana seorang lagi penjaga gol Harimau Malaya, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tampak semakin yakin apabila diturunkan.

“Saya memang perlu bekerja keras. Mahu atau tidak saya perlu bersaing dengan Sharbinee serta Nasril Nourdin untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya yang juga kapten skuad Olimpik.

Gergasi Asia Igauan Dunia . .

Jepun mencipta sejarah.Mereka muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Wanita 2011.
Kejayaan itu satu kebanggaan buat bola sepak Asia yang kini semakin digeruni di peringkat dunia.
Pada final yang berlangsung di Stadium Frankfurt itu, Jepun menghampakan Amerika Syarikat 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.
Rentak kemenangan yang dilakar Jepun itu sungguh menakjubkan.
Skuad kendalian Norio Sasaki itu bangkit selepas dua kali ketinggalan bagi merangkul kejuaraan buat kali pertama pada kejohanan berprestij itu.
Kapten Jepun, Homare Sawa yang turut memenangi anugerah Kasut Emas pada kempen kali ini apabila muncul penjaring terbanyak membuktikan kualiti yang dimilikinya apabila menyamakan kedudukan buat The Blue Samurai untuk mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-117.
“Saya seolah-olah tidak percaya yang kami berjaya muncul juara.
“Kami tidak pernah berputus asa dan terus berjuang sehingga ke minit-minit yang terakhir. Kami telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan hari ini (awal pagi semalam).
“Ini merupakan kejayaan paling bermakna buat diri saya sepanjang lima kali beraksi pada kempen Piala Dunia Wanita dan kali ini saya pulang dengan status sebagai juara,” kata Sawa.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Frankfurt itu, Alex Morgan berjaya membuka tirai jaringan buat AS pada minit ke-69 sebelum Jepun menyamakan kedudukan menerusi Aya Miyama minit ke-80 sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Sebaik aksi masa tambahan bermula, AS kembali berada di depan selepas penyerang sensasi mereka Abby Wambach meledak gol pada minit ke-104 sebelum Sawa menyamakan kedudukan minit ke-117.
Penjaga gol Jepun, Ayumi Kaihori dijulang sebagai wirawati apabila menggagalkan dua sepakan penalti pasukan AS bagi memastikan kemenangan menjadi milik gergasi Asia itu.
“Kami memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan ini dan corak permainan kami juga lebih tersusun. Begitupun kami akui agak gugup kerana ini merupakan final yang pertama buat kami pada Piala Dunia.
“Begitupun, nasib ternyata menyebelahi kami dan kami kini sudah bergelar juara. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong kami,” jelas Sasaki.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Jepun mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan dari Asia yang pertama menjulang trofi Piala Dunia Wanita.
Sementara itu, jurulatih AS, Pia Sundhage mengakui kelalaian anak-anak buahnya sehingga membenarkan Jepun kembali bangkit menyamakan kedudukan ternyata telah mengundang padah kepada mereka.

Kebangkitan Safee Sali . . .


PENYERANG prolifik negara, Mohd Safee Sali (gambar) memberi amaran kepada Singapura dia kini sudah bersedia untuk menggegar jaring Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.
Biarpun Safee masih belum mencapai tahap kecergasan terbaik namun sentuhan pemusnahnya di hadapan pintu gol masih berbisa dengan jaringan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua ketika Malaysia tumpas 6-3 kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Jaringan itu ternyata amat bermakna buat pemain berusia 27 tahun itu untuk menamatkan kemarau jaringan bersama Harimau Malaya memandangkan kali terakhir dia meledak pada final Piala Suzuki AFF menentang Indonesia Disember lalu.
“Syukur Alhamdulillah kerana kecederaan saya semakin pulih cuma apa yang saya perlu lakukan adalah meningkatkan semula tahap kecergasan agar dapat bermain selama 90 minit.“
Selepas mengalami kecederaan dan berjaya menjaringkan gol sememangnya memberikan banyak keyakinan kepada saya bagi menghadapi pertemuan dengan Singapura selepas ini,” katanya yang ditemui selepas tamat permainan.
Safee yang kini beraksi bersama kelab Pelita Jaya FC di Indonesia terpaksa diketepikan dalam perlawanan kedua dengan Taiwan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 serta aksi persahabatan menentang Arsenal sebelum ini kerana mengalami kecederaan otot belakang lutut.

Dia yang kembali pulih dimasukkan oleh Datuk K Rajagobal pada minit ke-70 menggantikan penyerang skuad Olimpik negara, Izzaq Faris Ramlan dalam perlawanan dengan Liverpool.

Ternyata Safee tidak menunggu lama untuk melakukan impak dengan meledak gol pada minit ke-79 dan 81 menewaskan penjaga gol Peter Gulacsi sekali gus memberikan tentangan kepada the Reds
Menurutnya, dia langsung tidak menyangka mampu menghasilkan gol dalam perlawanan yang disaksikan 80,000 penyokong berjersi merah itu




Sunday, 17 July 2011

Sekitar perlawanan Malaysia vs Chelsea . .

JURULATIH skuad Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee mempertaruhkan sembilan pemain senior untuk menghadapi Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pilihan Malaysia merupakan gabungan pemain-pemain skuad Olimpik negara serta beberapa pemain senior yang tidak terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal menghadapi Singapura pada Sabtu ini.

Sembilan pemain senior itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, 30, Amri Yahyah, 30, Hairuddin Omar, 32, Badhri Radzi, 29 (gambar), Daudsu Jamaluddin, 26, S. Subramaniam, 26, Shahrulnizam Mustapa, 30,     Joseph Kalang Tie, 24, dan penjaga gol, Farizal Marlias, 25.

Mereka bakal digabung bersama pemain-pemain berusia bawah 22 tahun yang menjadi tonggak skuad Olimpik negara seperti Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Fandi Othman dan Zubir Azmi.

Menurut Kim Swee, 41, kesemua tonggak senior tersebut telah menunjukkan sikap yang positif sepanjang seminggu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Isnin lalu.

“Kesemua pemain senior ini nampak sudah mula membentuk keserasian dengan pemain-pemain muda sedia ada dalam skuad Olimpik ini.

“Bertemu Chelsea ini merupakan satu perlawanan bagi pemain-pemain merasai pengalaman menentang bintang-bintang dunia.

“Mungkin bagi pemain-pemain senior ini, ia merupakan pentas untuk membuktikan bahawa mereka masih layak dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan,” kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Skuad Pilihan Malaysia itu memulakan sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil petang semalam setelah mendaftar masuk di hotel penginapan pasukan, Palace Of The Golden Horses di Seri Kembangan.

Kim Swee turut mengingatkan para pemainnya supaya tetap mengambil serius perlawanan menentang Chelsea itu bagi menjaga maruah dan nama Malaysia.

“Kita dapat lihat pada dua aksi skuad kebangsaan menentang Arsenal dan Liverpool, gol yang dilepaskan cukup mudah. Jadi para pemain perlu berhati-hati mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” ujarnya.

Kim Swee turut menamakan Norhafiz Zamani sebagai kapten skuad Pilihan Malaysia bagi menghadapi Chelsea yang tiba di Kuala Lumpur pada tengah hari ini...credit for kosmo.

Saturday, 16 July 2011

permainan tradisional, TARIK UPIH PINANG !!

SEJARAH
Tarik upih merupakan satu permainan kanak-kanak yang dimainkan oleh kanak-kanak. Upih pinang adalah pelepah/"pangkal" daun pokok pinang. Lazimnya apabila pelepah ini tua, ia akan luruh atau jatuh ke tanah. Ketika pelepah ini jatuh ia masih berguna. Daun pinang dari pelepah itu akan dibuang dan dijadikan hulu atau tempat untuk menarik upih tersebut.

CARA PERMAINAN
Upih ini mesti dimain dengan dua orang atau lebih. Seorang mesti menjadi tukang tarik dan seorang lagi duduk dalam upih. Biasanya yang seronok adalah apabila orang menarik kita. Terasa punggung macam digeletek. Tetapi sakit juga kalau terlanggar tunggul kayu atau ketul batu.
Upih ni boleh naik seorang, dua orang, tiga orang atau berapa saja asalkan muat dan bergantung kepada saiz upih yang luruh itu. Biasanya muat setakat seorang dua saja.
Permainan upih ini seronok kalau kita adakan pertandingan atau perlumbaan. Kenalah ada ramai kawan-kawan yang jadi penarik dan "penunggang" upih. Cuma lecehnya, upih ni nak kena tunggu luruh dulu baru boleh main. Upih pula bukan luruh hari-hari atau selalu.
Biasanya yang lebih tua / besar akan menjadi penarik, sementara yang kecil menjadi penunggangnya.

bowling !!! sukan yang cukup selesa...sbb men lam aircond..hahahahha

Boling sepuluh pin atau ten-pin bowling adalah sejenis sukan kompetitif dan riadah di mana seorang pemain diperlukan untuk menggolek bola di atas lorong yang dibuat dari kayu atau sintetik (polyurethane) dengan tujuan untuk mendapat mata secara menjatuhkan sebanyak pin yang mungkin.
Lorong boling tersebut berukuran 41.5 inci (105 cm) lebar dan 60 kaki (18.2 m) panjang. Di kiri dan kanan lorong tersebut terdapat 2 buah longkang yang akan mengutip bola yang melencong ke luar. 20 kaki (6 m) kehadapan adalah ruangan untuk pemain bergerak, dan baki 40 kaki (12 m) untuk bola bergolek ke arah 10 pin yang disusun secara segi tiga di hujung lorong. Pemain akan naik ke pelantar lorong tersebut dengan bola yang seberat di antara 6 hingga 17 paun (2.7 - 7.7 kg).
Permainan ini berasal dari permainan "skittle" dan sangat popular di Eropah dan AS. Kini pemain-pemain dari Asia Tenggara telah maju dalam permainan ini dan ramai juga yang bergelar juara dunia. Di Sukan Asia tahun 2006, emas Malaysia banyak disumbangi oleh pasukan tenpin bolingnya.Terdapat juga sedikit kajian mengenai Prestasi Atlet dalam sukan Tenpin Bowling

permainan harimau melaya semakin meyakinkan walaupun tewas...

BIARPUN tewas 3-6 kepada Liverpool pada aksi persahabatan petang semalam, jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sudah boleh tersenyum lega.
Ini kerana ada peningkatan yang dipamerkan pemain negara berbanding ketika kekalahan 0-4 kepada Arsenal Rabu lalu, terutamanya tindakan penyudah yang dinanti-nanti selama ini telah ditemui.
Malah Rajqgobal juga gembira apabila 'ayam tambatan'nya, Safee Sali yang baru pulih daripada kecederaan, membuktikan ketajamannya dengan dua jaringan, sekali gus mampu menjadi inspirasi apabila bertandang ke Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 nanti.
"Secara keseluruhannya, saya gembira dengan peningkatan pemain kita. Mereka bermain dengan pantas dan menunjukkan kombinasi yang baik," kata Raja- gobal pada sidang media semalam.
"Kita bermula dengan baik dan cuba menguasai bola, cuma kadang kala pemain lambat membuat ke- putusan di atas padang.
"Apa pun, saya gembira kerana kita dapat juga men- jaringkan gol. Jaringan Safee menyuntik semangat pe- main dan saya gembira kerana dapat menurunkannya hari ini," ujar beliau lagi.
Begitupun, Rajagobal juga sedar kerapuhan benteng pertahanan perlu diperbaiki lagi sebelum pertemuan dengan Singapura.
Menurutnya, kealpaan pertahanan telah menyebab- kan pemain Liverpool mendapat gol dengan mudah.
"Kita telah memberi enam gol secara percuma kepada Liverpool hari ini. Kita tidak boleh memberi pe- luang sebegini kepada sebuah pasukan berkelas dunia seperti Liverpool.
"Tetapi saya juga mahu menguji kombinasi pemain pertahanan dalam perlawanan seperti ini, sebab itu saya masukkan Rizal (Fahmi), Farisham (Ismail) dan beberapa lagi pertahanan.
"Saya mahu beri peluang kepada mereka beraksi berdepan dengan penyerang-penyerang bertaraf dunia. Bukan senang untuk mendapat peluang sebegini. Apa pun, ia satu ujian yang bagus buat mereka," tambah Rajagobal lagi.
Mengenai prestasi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang bolos lima gol, Rajagobal berkata: "Kita tidak boleh menyalahkan Khairul Fahmi kerana penjaga gol bertaraf dunia juga akan dibolosi gol.
"Lagi pun, semua gol itu adalah berpunca daripada kealpaan pertahanan kita yang longgar.
"Apa pun, saya akan buat penilaian semula dan akan menurunkan barisan yang kuat dari segi mental dan fizikal apabila berdepan dengan Singapura nanti," katanya.