PENYERANG prolifik negara, Mohd Safee Sali (gambar) memberi amaran kepada Singapura dia kini sudah bersedia untuk menggegar jaring Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.
Biarpun Safee masih belum mencapai tahap kecergasan terbaik namun sentuhan pemusnahnya di hadapan pintu gol masih berbisa dengan jaringan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua ketika Malaysia tumpas 6-3 kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Jaringan itu ternyata amat bermakna buat pemain berusia 27 tahun itu untuk menamatkan kemarau jaringan bersama Harimau Malaya memandangkan kali terakhir dia meledak pada final Piala Suzuki AFF menentang Indonesia Disember lalu.
“Syukur Alhamdulillah kerana kecederaan saya semakin pulih cuma apa yang saya perlu lakukan adalah meningkatkan semula tahap kecergasan agar dapat bermain selama 90 minit.“
Selepas mengalami kecederaan dan berjaya menjaringkan gol sememangnya memberikan banyak keyakinan kepada saya bagi menghadapi pertemuan dengan Singapura selepas ini,” katanya yang ditemui selepas tamat permainan.
Safee yang kini beraksi bersama kelab Pelita Jaya FC di Indonesia terpaksa diketepikan dalam perlawanan kedua dengan Taiwan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 serta aksi persahabatan menentang Arsenal sebelum ini kerana mengalami kecederaan otot belakang lutut.
Dia yang kembali pulih dimasukkan oleh Datuk K Rajagobal pada minit ke-70 menggantikan penyerang skuad Olimpik negara, Izzaq Faris Ramlan dalam perlawanan dengan Liverpool.
Ternyata Safee tidak menunggu lama untuk melakukan impak dengan meledak gol pada minit ke-79 dan 81 menewaskan penjaga gol Peter Gulacsi sekali gus memberikan tentangan kepada the Reds
Menurutnya, dia langsung tidak menyangka mampu menghasilkan gol dalam perlawanan yang disaksikan 80,000 penyokong berjersi merah itu
No comments:
Post a Comment