Saturday 23 July 2011

Penguasaan Usain Bolt Berterusan..

Pemegang rekod dunia, Usain Bolt tidak bimbang mengenai peluangnya pada Kejohanan Olahraga Dunia 2011 meskipun hampir mengalami kekalahan ketiga dalam karier profesionalnya kelmarin. Bolt gagal memulakan lariannya dengan baik dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Berlian Monaco, namun bangkit melakukan larian deras di saat-saat akhir untuk memintas rakan senegaranya, Nesta Carter dan melintasi garisan penamat dengan catatan 9.88 saat.
Sebelum ini, dia mengalami dua kekalahan kepada pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay tahun lepas dan juga kepada rakan senegaranya dari Jamaica, Asafa Powel pada 2008 di Stockholm. Namun Bolt berkata, dia tidak bimbang dengan prestasinya selepas pulih daripada kecederaan menjelang Kejohanan Olahraga Dunia di Daegu, Korea Selatan pada 27 Ogos hingga 4 September depan. "Saya tidak bimbang mengenai acara 100m atau 200m, ini acara kegemaran saya," kata pelari berusia 24 tahun itu.
"Saya semakin pulih. Saya banyak meningkat ketika larian 60 meter terakhir. Hanya perlu memperbaiki pecutan pada awal 40 meter saja." Bolt ketinggalan di belakang Carter dan pelari Amerika, Michael Rodgers pada awal perlumbaan, namun juara Olimpik itu memberi respons luar biasa dengan memecut pada saat-saat akhir untuk menewaskan dua pencabarnya itu. "Memang bagus untuk terus mengekalkan kejayaan. Saya tidak pernah mencatat masa sehingga 9.58s musim ini, tidak sama seperti keadaan dua tahun lalu," kata Bolt. "Kali ini saya akan cuba melakukan 9.7 atau 9.6 saat."credit to Kosmo.

No comments:

Post a Comment